Perikatan Nasional (PN) Johor kekal dengan pendirian mahu memberikan fokus terhadap rakyat terutama. Namun pada masa sudah bersedia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Berikut adalah kenyataan penuh Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor.

Parlimen Ke-14 telah terbubar hari ini bagi memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan setelah mendapat perkenan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri sebentar tadi, bukanlah mengejutkan kerana pembubaran Parlimen dan PRU-15 telah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan polemik.

Ia berikutan ramalan METMalaysia bahawa akan berlakunya bencana banjir besar berikutan Monsun Timur Laut (MTL) dan musim tengkujuh seperti yang dihadapi pada setiap tahun selain situasi negara yang berada dalam fasa endemik dan pemulihan.

Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor tetap dengan pendirian yang memfokuskan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat, namun tidak dapat mengelak untuk berhadapan dengan pilihan raya.

Gabungan yang menampilkan Bersatu, Pas, Parti Geraskan Malaysia (Gerakan), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Star Sabah sebagai komponennya, PN akan tetap menyertai PRU-15 sebagai mendukung dan menyuburkan demokrasi berparlimen di negara ini.

PN Negeri Johor berkeyakinan rakyat Malaysia khususnya Bangsa Johor, sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal mempertandingkan kesemua 26 kerusi Parlimen di negeri ini.

Selain itu, PN Negeri Johor mendoakan seluruh Bangsa Johor diberikan kesihatan yang baik, sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT serta terhindar daripada sebarang ujian yang membebankan.

Akhir sekali, PN Negeri Johor sentiasa komited meneruskan agenda Prihatin Rakyat dan berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Datuk Dr. Sahruddin Jamal
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor