KUALA LUMPUR, 11 Okt – Jumlah penganggur pada Ogos 2022 menunjukkan penurunan kepada 612,000 orang berbanding 620,700 orang pada Julai 2022.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagaimanapun memaklumkan, kadar pengangguran pada Ogos 2022 kekal pada 3.7 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan pasaran buruh pada bulan Ogos 2022 kekal stabil berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik dan memberangsangkan.

“Aktiviti perniagaan serta sosial terus beroperasi seperti biasa telah membolehkan ekonomi pulih semula dengan lebih kukuh dan keperluan tenaga buruh semakin meningkat.

“Bilangan tenaga buruh pada Ogos 2022 semakin kukuh dengan peningkatan sebanyak 30,500 orang atau bersamaan dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang berbanding 16.60 juta orang pada Julai 2022.

“Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh terus merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 69.7 peratus pada bulan tersebut,” memetik kenyataan yang dikeluarkan beliau pada Selasa.

Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja pada bulan Ogos 2022 terus stabil dengan merekodkan peningkatan sebanyak 39,300 orang atau 0.2 peratus kepada 16.02 juta orang (Julai 2022: 15.98 juta orang).

Jelas Mustapa, kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif bagi memastikan kadar pengangguran kekal rendah termasuklah dengan meneruskan insentif penggajian kepada majikan dan memudah cara pencarian pekerjaan.

Antara 1 Januari 2022 hingga 30 September 2022, seramai 58,550 orang telah mendapat manfaat di bawah Program JaminKerja – Insentif Penggajian.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah berjaya melakukan penempatan pekerjaan untuk 143,643 orang dalam tempoh yang sama.