KUALA LUMPUR, 11 Okt – Membubarkan parlimen sejurus selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu adalah tidak wajar.

Perkara itu ditegaskan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Tegasnya, rakyat kini menilai taktik tersebut memandangkan segala pengumuman dalam Bajet 2023 tidak lagi boleh diguna pakai.

“Dalam soal bagaimana Bajet tersebut hendak diperkirakan, hendak kita jawab dahulu soalan yang amat berat iaitu adakah masa untuk mengadakan Pilihan Raya ke-15 (PRU15) ini tepat berkaitan dengan hak serta asasi kepentingan rakyat di bawah.

“Saya mengatakan ini sebagai seorang neutral, yang mempengerusikan dan mengepalai Senat Malaysia. Oleh kerana hal ini adalah hal kenegaraan, dan kepekaan kita terhadap kehidupan,” tambah beliau ketika ditemu bual secara maya menerusi program Niaga AWANI.

Dalam pada itu, Rais berpendapat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar menerima hakikat bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini perlu diadakan dalam tempoh yang segera.

Walaupun tidak bersetuju dengan pembubaran parlimen ketika ini, Rais pada masa sama berpandangan banyak perkara berkait periuk nasi rakyat tidak dapat diselesaikan selagi parlimen tidak dibentuk.

“Pergelutan untuk mengadakan PRU ini bukanlah kehendak rakyat, sebaliknya kehendak pihak yang ada kepentingan dalam soal-soal yang bertemu dengan nasib mereka pada masa akan datang, ini soal politik.” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, perkara ini harus menjadi satu mata pelajaran, panduan dan sempadan bagi rakyat Malaysia agar tidak keterlaluan apabila berpolitik dan tidak hanya melihat kepada sbelah pihak sahaja.