JASIN, 11 Okt – Perikatan Nasional (PN) Melaka akan melakukan gerak kerja awal bagi memastikan pengundi di negeri ini keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata jentera perlu bekerja kuat bagi memastikan situasi peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tahun lalu tidak berulang lagi.

Menurutnya, langkah itu penting memberi kesedaran terutama pengundi di kawasan ‘putih’ atau kubu kuat parti lain termasuk Barisan Nasional (BN).

“Ini kerana peratusan keluar mengundi di bawah 75 peratus akan memberikan kelebihan kepada BN untuk menang sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu.

“Kelemahan mengatur strategi juga antara faktor mengapa PN hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka lalu,” katanya ketika ditemui di Bemban di sini, pada Selasa.

Dr Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka berkata, strategi perlu dirangka lebih awal supaya sasaran dapar dicapai seperti mana PRU-14 yang mencatatkan individu keluar mengundi lebih 80 peratus.

Ujar beliau, jentera parti juga akan mengenalpasti segala kemudahan yang diperlukan untuk membawa pengundi keluar pada musim tengkujuh bermula bulan depan.

“Kita perlu fikirkan kaedah membantu pengundi keluar terutamanya di kawasan-kawasan pengundi putih termasuk terpaksa mengharungi banjir pada hari mengundi nanti,” kata beliau lagi.