TEMERLOH, 11 Okt – PN Terajui Pahang – Itu slogan tanda tekad Perikatan Nasional (PN) Pahang menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengisytiharkan slogan tersebut berkata, ia dipersetujui oleh parti gabungan antara BERSATU, PAS dan Gerakan dalam satu sesi perbincangan sebelum ini.

“Dengan penuh tawadduk tetapi dengan cita-cita untuk menegakkan perjuangan yang dituntut oleh Allah, kami mengisytiharkan slogan di Pahang yakni ‘PN Teraju Pahang’,” katanya di Majlis Pelancaran PN Pahang di Kompleks Al-Makmur, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berharap pengumuman itu dapat meniup nafas baharu dalam perjuangan BERSATU di Pahang.

“Oleh kerana kita punyai kekuatan, bukan kita mendabik dada, tidak juga berjiwa hamba.

“Kerana ini adalah bumi Mat Kilau, Tok Gajah, tidak mengenal kalah dan sentiasa melangkah ke hadapan,” katanya memetik tokoh tempatan menyemarakkan semangat orang ramai.

Tambah Saifuddin, PN tekad untuk memperjuangkan masalah-masalah rakyat di samping membasmi segala bentuk kemungkaran.

“Perjuangan kita untuk rakyat menangani masalah hidup mereka, inflasi sedang naik, mendapatkan pekerjaan, membantu peniaga dan menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri yang mampan dalam pembangunannya.

“Memerangi segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Ini perjuangan amal makruf nahi mungkar,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata rundingan pembahagian kerusi Parlimen berjalan dengan lancar.

“14 kawasan Parlimen sudah ditentukan, tujuh diketuai oleh PAS, enam diketuai oleh BERSATU, satu diketuai oleh Gerakan.

“Sekarang kita dalam proses rundingan kerusi Dun dan Parlimen, tiada tumbuk-tumbuk, penuh kemesraan, bertolak ansur, ini ‘semangat’ PN negeri Pahang,” ujarnya.