MARANG, 11 Okt – Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris akur dan berlapang dada sekiranya tidak dipilih menjadi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Razali yang juga Ketua Bahagian BERSATU Marang menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon dan menentukan kedudukannya berikutan Parlimen Marang adalah kerusi tradisi PAS yang disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Saya sebenarnya tak nampak di mana saya boleh bertanding, saya mengundi di Marang dan Marang kerusi PAS. Jadi saya nak bertanding di mana? Takkan nak bertanding di Besut, jauh sangat, jadi saya serah pada Pusat untuk buat keputusan.

“Sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, kita bersedia kalau pucuk pimpinan kata awak bertanding di mana, tapi daripada segi kaedahnya, tempat saya sekarang ini tak boleh. Malah, saya sudah cakap jangan cuba tindih kerusi sahabat kita,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU itu yang ditemui pemberita selepas Persidangan BERSATU Bahagian Marang, di sini malam tadi, menegaskan beliau sedia berkorban untuk memastikan parti komponen dalam PN menang PRU15.

“Ahli BERSATU di Terengganu kecil (tak ramai), ada lebih kurang 25,000 orang dan kita jangka boleh bantu sahabat kita untuk menang. Kita jangka dalam 3,000 (pengundi) di satu-satu Parlimen, ada pengundi BERSATU kalau kita minta undi parti yang kita mahu.

“Jadi kita boleh bantu mana-mana kerusi yang bawah daripada 1,000 undi (majoriti undi dimenangi ketika PRU14). Insya-Allah, yang menang sikit (majoriti kecil) kita bantu, yang kalah mungkin kita dapat menang,” katanya.

BERSATU Terengganu bersetuju bertanding dua kerusi Parlimen, Hulu Terengganu dan Besut serta 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap.