KOTA KINABALU, 11 Okt – Kerajaan Sabah dijangka mengutip RM2.45 bilion setahun secara berterusan menerusi bayaran royalti dan cukai jualan negeri (SST) daripada sektor minyak dan gas.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata ia berikutan kemasukan petrokimia (PetChem) dalam Enakmen SST baru-baru ini.

Katanya, kemasukan PetChem dalam Enakmen SST membolehkan kerajaan negeri mengutip RM10 juta daripada Petronas Chemical menerusi projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bagi Ogos tahun ini.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, turut mengesahkan kerajaan negeri sudah menerima bayaran tertunggak SST daripada sebuah lagi syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sabah, iaitu Hibiscus Petroleum.

“Kerajaan negeri berharap untuk membangun dan mengembangkan perniagaan minyak dan gas dengan semua syarikat minyak dan gas dalam suasana perkongsian harmoni,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset serta Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), di sini, hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, Sabah boleh menjangkakan jumlah kutipan royalti dan SST sehingga RM2.45 bilion setahun, namun ia juga bergantung kepada pergerakan harga minyak semasa.

Beliau turut mengesahkan cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan cawangan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Sabah menjadi kenyataan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UTP dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Katanya, langkah itu akan meningkatkan lagi pembangunan modal insan di Sabah dan keupayaan untuk menyokong sektor minyak dan gas (O&G) selaras dengan visi Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya juga berasa amat bangga dengan kemajuan dan pembangunan ini. Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan PETRONAS kerana menunjukkan komitmen serta sentiasa mendengar tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas.

“Ini sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama di antara kerajaan negeri dan PETRONAS dalam usaha memastikan apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.