APABILA Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengumumkan pembubaran Parlimen pemimpin parti politik, kecuali Barisan Nasional (BN), bertalu-talu mengkritik keputusan tersebut. Manakala dalam media sosial pula, UMNO khususnya Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi sasaran serangan.

Majoriti rakyat tidak percaya bagaimana UMNO boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen ketika Monsur Timur Laut sedangkan bencana banjir kini berada di ambang pintu.

Ketika pemimpin UMNO gembira, rakyat berdukacita. Mereka masih teringat apa yang berlaku pada 2021 apabila bencana itu melanda. Dilaporkan, lapan negeri terjejas, 54 maut dan 21 hilang, manakala lebih 71,000 hilang tempat tinggal.

Kita hanya mampu meramalkan bahawa banjir mungkin akan berlaku pertengahan November, tetapi bagaimana kalau ia berlaku lebih awal. Ketika ini beberapa negeri sudah terjejas dengan banjir kilat dan mangsa dipindahkan.

Biarpun penulis antara yang kecewa PRU-15 terpaksa diadakan pada musim tengkujuh, namun dari satu segi penulis berpendapat ia ada hikmahnya. Jangan lupa firman Allah SWT yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al Baqarah: 216).

Imbas kembali sejak merdeka pada 1957 hingga 2018, politik negara tidak habis-habis ‘dicaturkan’ oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN). Walaupun pada Mei 2018, rakyat yang menolak rasuah dan salah guna kuasa menamatkan pemerintahan 60 tahun BN.

UMNO dan BN ‘menjaja’ mengatakan mereka tumbang kerana pendakwaan terpilih dan fitnah parti lawan tetapi apa yang berlaku di mahkamah membuktikan sebaliknya.

Namun begitu UMNO kembali ‘berkuasa’ apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjemput parti itu dan PAS membentuk kerajaan bagi menghalang DAP daripada berkuasa. Ia memandangkan ketika Kerajaan Pakatan Harapan, kerenah DAP dikatakan menjadi punca Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Apabila sudah berada dalam kerajaan sepatutnya pemimpin UMNO bersyukur, tetapi nafsu politik segelintir pemimpinnya khususnya yang berada di luar kerajaan dan mempunyai agenda politik peribadi, tidak terhenti.

Ketika Muhyiddin dengan dibantu oleh menteri kanan daripada UMNO bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19 termasuk menghulurkan bantuan berbilion ringgit bagi memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat serta disusuli pula dengan pembentukan Pelan Pemulihan Negara (PPN) – (yang menjadi punca negara berada dalam pada keadaan hari ini), 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Ringkas cerita, walaupun kehilangan kuasa Perdana Menteri, Muhyiddin bersama ahli-ahli Parlimen Bersatu lain tetapi menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Dan ketika beberapa pemimpin UMNO menyebar dakyah mereka kononnya kerajaan tidak stabil sebab diganggu oleh Bersatu dalam Kabinet. Ismail Sabri tampil menjelaskan, kerajaan stabil dan tiada pertembungan besar antara anggota Kabinet walaupun berbeza parti.

Tetapi pemimpin UMNO menekan dan mendesak, Perdana Menteri untuk memohon pembubaran Parlimen supaya PRU-15 diadakan atas alasan kerajaan tidak stabil, tetapi tersirat mereka mahu menyingkirkan Bersatu daripada kerajaan, walaupun Presiden Bersatu yang menjemput mereka menjadi kerajaan ketika mereka ‘tersungkur di kaki rakyat; dalam PRU-14.

Berdasarkan rentetan ini, ia membuktikan arena politik negara akan terus tidak stabil selagi ada segelintir pemimpin UMNO yang terus menjadi ‘dalang’ mencaturkan perjalanan politik negara demi kepentingan politik peribadi dan kemaruk untuk kembali berkuasa seperti mana pandangan banyak pihak.

Sampai bila negara ini harus melihat hanya satu parti sahaja yang kononnya mampu membawa kestabilan dan kemakmuran sedangkan akibat tindakan segelintir pemimpinnya maruah negara tercemar di mata dunia akibat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Di negara-negara lain, parti-parti seumpama itu sudah lama ‘dibenamkan’ walaupun mereka pernah berpuluh-puluh tahun berada dalam tampuk kekuasaan.

Atas sebab itulah, penulis melihat pembubaran Parlimen ini ada rahmatnya. Inilah peluang untuk rakyat menggunakan kuasa keramat mereka untuk ‘membenamkan’ UMNO daripada menjadi watak utama dalam arena politik negara.

Selama ini segelintir pemimpin UMNO begitu yakin rakyat tetap bersama mereka kononnya kerana hanya mereka boleh mewujudkan kestabilan politik dan kemakmuran negara. Tetapi sejarah sudah membuktikan, UMNO yang mencetuskan ketidakstabilan apabila berada di dalam kerajaan, biarpun bertaraf ‘menumpang’.

UMNO lupa rakyat sekarang adalah generasi baru. Rakyat sekarang mahu politik baru. Mereka mahu pemimpin yang bebas dari rasuah dan kes mahkamah. Bukan terlibat dalam skandal kewangan yang menjatuhkan maruah negara dan melakukan rasuah serta salahguna kuasa apabila berkuasa.

Rakyat tidak boleh dibuai lagi dengan ‘mantera’ hanya satu parti sahaja boleh memimpin negara ini. Rakyat mahukan pemimpin profesional daripada pelbagai kaum, politik perkauman sudah lapuk.

Justeru, rakyat tidak perlu terlalu berdukacita dengan pembubaran Parlimen ini, sebaliknya anggap ia sebagai pembuka jalan untuk ‘merehatkan’ UMNO dan BN daripada menjadi ‘pecatur’ arena politik negara. Lagipun UMNO pun tidak habis-habis bercakap soal mahu mengembalikan mandat kepada rakyat dan sekarang mandat itu sudah dikembalikan, jadi terserahlah kepada rakyat membuat keputusan.

Walaupun UMNO yakin mereka boleh menang disebabkan mendakwa parti-parti lawan sedang berkeceramuk tetapi mereka jangan sesekali merendah-rendahkan pemikiran rakyat dalam menentukan kerajaan.

Kepada rakyat pula, inilah peluang mereka untuk membuat keputusan terbaik untuk negara bagi tempoh lima tahun akan datang. Tersilap pilih, mereka akan merana 5 tahun akan datang. Inilah masa untuk memberi pengajaran kepada pemimpin yang beria-ia mahu pilihan raya ketika rakyat berada dalam kesusahan.

Penulis adalah Zulkiflee Bakar. Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.