HULU SELANGOR, 12 Okt – BERSATU Hulu Selangor menerima kemasukan 1,300 ahli baharu secara berkelompok yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik, badan bukan kerajaan (NGO), dan individu-individu yang mewakili kesatuan penduduk.

Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Mejar Bersekutu (PA) Md Anuar Mohd Nor berkata ini tindakan permulaan kepada protes pembubaran Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri yang tidak memperdulikan apa yang akan rakyat lalui jika ditakdirkan banjir berlaku pada waktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, gelombang hilang kepercayaan terhadap pimpinan parti yang sedia ada ini akan merebak di seluruh negara dan seterusnya membina satu ikatan konkrit kepercayan kepada kebolehan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui negara dan negeri Selangor pada PRU15 yang akan datang.

“Kemasukkan pimpinan dan mantan pimpinan yang ada pada hari ini adalah terdiri daripada ahli-ahli parti daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pejuang, Parti UMNO, Parti Amanah, Parti MIC, dan beberapa NGO yg lain.

“Rentetan daripada gelombang kemasukkan ahli-ahli parti politik ini khususnya di Hulu Selangor secara berkelompok menunjukkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti politik mereka yang lama. Anjakan politik baru ini berlaku secara sukarela di atas kematangan politik di kalangan ahli politik Hulu Selangor.

“Gelombang perubahan ini berlaku di Hulu Selangor disebabkan oleh kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU dan juga Pengerusi PN dan kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Pengerusi PN Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, keterbukaan mereka menyertai BERSATU, khususnya di Hulu Selangor merupakan indikator baru landskap politik di Malaysia.

“Kehadiran dua tokoh utama ini dalam landskap politik tanah air di Malaysia memberikan satu impak positif terhadap rakyat Malaysia dan keyakinan tinggi untuk menerajui kerajaan pada PRU15 yang akan datang di Selangor dan Malaysia,” katanya.