KUALA LUMPUR, 12 Okt – Mesyuarat Kabinet sebelum ini bersetuju proses pembubaran Parlimen perlu melalui konsultasi Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat pada 7 September lalu.

“PN tuntas menolak cadangan pembubaran pada waktu terdekat demi memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha pemulihan ekonomi dan menjamin kesejahteraan serta kebajikan rakyat ketika berhadapan dengan bencana.

“Pendirian menteri PN menolak cadangan pembubaran adalah penegasan semula terhadap keputusan Jemaah Menteri pada 21 September 2022.

“Cadangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibincangkan dan Jemaah Menteri bersetuju untuk kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha pemulihan ekonomi negara serta meningkatkan usaha kesiapsiagaan menghadapi banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN menegaskan kenyataan media Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa tindakan menteri PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai punca ketidakstabilan politik adalah dangkal dan meleset.

Katanya, sudah menjadi rahsia umum bahawa pembubaran Parlimen dilakukan atas desakan UMNO serta punca sebenar ketidakstabilan dan ketidakharmonian dalam kerajaan hari ini adalah akibat percakaran kuasa antara kleptokrat dengan kluster Ismail Sabri.

“Ismail Sabri juga sedia maklum bahawa beberapa kerajaan negeri berpendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tahun ini.

“Pembubaran Parlimen dan DUN secara berasingan akan mengakibatkan kos pengurusan pilihan raya yang sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Ismail Sabri sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa keputusan pembubaran Parlimen perlu dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri memandangkan Barisan Nasional (BN) bukan lagi gabungan yang membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Mengapa kini Ismail Sabri mempertikaikan pendirian menteri PN yang sudah diputuskan secara bersama dalam Jemaah Menteri? Pastinya, pendirian terbaru Ismail Sabri adalah di atas desakan Presiden UMNO.

“Sesungguhnya, tindakan Ismail Sabri menyalahkan menteri PN adalah bermotifkan politik yang terdesak untuk mengalih persepsi rakyat terhadap UMNO dan BN yang gagal merasai denyutan nadi rakyat,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri berkata, tindakan tidak wajar 12 menteri Kabinet yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, tindakan menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, bahkan sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.