KUALA LUMPUR, 12 Okt – Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyalahkan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan 12 menteri PN sebagai punca diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.

Ahli Majlis Pimpinan Tinggi BERSATU, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata Ismail sewajarnya bertanggungjawab terhadap cadangannya untuk membubarkan Parlimen kerana itu kuasa Perdana Menteri yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Lebih bermaruah lagi jika beliau merasakan bahawa beliau tidak lagi mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen maka beliau seharusnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai PM, bukan berlagak majoriti mohon pembubaran parlimen dari Istana Negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, adalah wajar Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), membuat teguran keras terhadap Ismail Sabri sebelum ekonomi negara menjadi lebih parah lagi dan nasi menjadi bubur.

Namun katanya, ia dibalas pula dengan membubarkan Parlimen, bukannya terus memperbaiki ekonomi rakyat.

“Itulah dia contoh PM yang paling singkat dan paling lemah dalam sejarah Malaysia kerana rela dicucuk hidungnya oleh seorang OKT yang mempunyai 47 kes melibatkan rasuah, pecah amanah dan gubahan wang haram satu yayasan kebajikan,” katanya yang merujuk kepada desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terhadap Ismail untuk membubarkan Parlimen, sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ismail Sabri mendedahkan tindakan Muhyiddin dan 12 menteri PN mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong membuatkan baginda kecewa dengan perkembangan politik semasa.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, pembubaran Parlimen semalam adalah rentetan daripada tindakan Muhyiddin dan 12 menteri terbabit yang menunjukkan sikap tidak wajar.

Mengulas lanjut Faiz berkata, rakyat tidak lupa bagaimana kerajaan Muhyiddin sebelum ini yang bertungkus-lumus menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19, diserang dari pelbagai arah oleh beberapa pemimpin UMNO atas motif politik semata-mata.

“Malah kepimpinan UMNO terus melaungkan “NO BERSATU” dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) mereka dua tahun berturut-turut ketika membentuk kerajaan bersama dengan PN.

“Sampaikan UMNO sendiri rela menjatuhkan kerajaan negeri mereka sendiri di Melaka dan Johor agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dilakukan ketika wabak masih menular dan ketika musim banjir. Adakah itu masih salah PN?” soalnya.