MELAKA, 12 Okt – Ahli Parlimen BERSATU Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin bersedia mempertahankan kerusi itu dengan berdepan mana-mana calon dari parti lain sekiranya pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) memberikan mandat kepadanya.

Beliau berkata, meskipun setakat ini BERSATU belum membuat sebarang keputusan berhubung calon-calon yang diputuskan, namun pimpinan parti telah memberi bayangan bahawa ahli parlimen parti akan dicalonkan semula di kerusi sedia ada.

“Dengan kudrat yang ada, saya akan sedaya upaya cuba untuk menawan hati pengundi termasuk merancang strategi dan siap siaga mengharungi Pilihan Raya Umum (PRU) dalam musim banjir.

“Sesiapa pun yang dicalonkan mana-mana pihak tidak semestinya Barisan Nasional (BN) sahaja, dari mana-mana parti kita bersedia hadapi, buat persiapan, dapatkan sokongan dan sebagainya,” katanya.

Mas Ermieyati berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Masjid Tanah di Masjid Tanah di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, gerak kerja dan komitmen yang diberikan sepanjang tempoh empat tahun setengah sebagai wakil rakyat BERSATU akan menjadi kayu ukur sokongan pengundi.

“Walau apa pun pasang surut berlaku dalam politik tanah air, tapi saya tidak pernah tinggalkan tugas dan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

“Saya kira itu menjadi rekod pencapaian saya kalau diberi kepercayaan pucuk pimpinan untuk saya berada lagi di Masjid Tanah,” kata beliau lagi.

Jelas beliau, PRU akan datang ini memperlihatkan pertambahan pengundi dalam parlimen itu dari lebih 50,000 pengundi kepada 69,098 pengundi manakala pengundi muda bawah 40 tahun kira-kira 51 peratus.

“Jadi banyak isu-isu yang menghimpit mereka terutama sekali isu ekonomi, pekerjaan dan isu-isu sosial.

“Kita perlu tengok bagaimana untuk kita atasi masalah ini dan selari dengan gerak kerja apa yang telah saya lakukan sepanjang jadi Ahli Parlimen,” ujar beliau.