KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kekuatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berdepan kekangan sekiranya bencana banjir berlaku serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kekuatan anggota PDRM ini melibatkan operasi pengurusan bencana.

Menurutnya, PDRM menganggarkan lebih 94,000 anggota perlu ditugaskan daripada 120,000 kekuatan keseluruhan anggota PDRM untuk PRU15.

“Berdasarkan rekod pada PRU14 sebelum ini, hampir 75,000 anggota polis ditugaskan.

“Kita mendapati peningkatan saluran berlaku sekali gus memerlukan penambahan anggota iaitu sekurang-kurangnya seorang anggota polis bertugas bagi setiap saluran mengikut akta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dengan dibantu anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) yang bertugas di kawasan luar pusat mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Op Banjir bertempat di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Katanya, isu yang dibimbangkan adalah keberangkalian pertembungan PRU15 dengan banjir.

“Apa dibimbangi adalah PRU kali ini bertembung dengan banjir dan sebab itu kami membincangkan perkara ini dengan agensi lain jika berlaku penugasan menyelamatkan mangsa banjir nanti.

“Bagaimanapun, saya amat berpuas hati dengan persediaan dan kesiapsiagaan PDRM yang boleh diatur gerak khusus bagi menghadapi bencana banjir besar pada bila-bila masa,” katanya.