KOTA KINABALU, 12 Okt – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan beliau dan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) sebagai punca diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai tidak bertanggungjawab.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya menyalahkan sesiapa berhubung perkara itu, sebaliknya perlu bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dilakukan.

“Ia sangat tidak bertanggungjawab apabila Perdana Menteri menyalahkan saya dan ahli Kabinet mengenai apa yang berlaku sekarang.

“Mereka tidak patut salahkan sesiapa, mereka yang bertanggungjawab. Kita tidak pertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang perkenan PRU-15 atas budi bicara baginda kerana ia mengikut perlembagaan,” katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan BERSATU Sabah, di sini, pada Selasa.

Muhyiddin berkata, pihaknya meminta supaya seboleh mungkin tidak diadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat ketika seluruh negara berdepan dengan ancaman banjir.

“Wakil saya dalam Kabinet berhak (mengutuskan warkah) kerana tiada perbincangan secara mendalam dan diputuskan dalam Jemaah Menteri untuk bubarkan Parlimen.

“Saya juga sebenarnya ada perjanjian dengan Ismail Sabri ketika beliau jadi Perdana Menteri dan antara kandungannya kalau nak bubar Parlimen sewajarnya bincanglah dengan pemimpin PN,” katanya.

Muhyiddin berkata, apa yang dilakukan PN adalah untuk melaksanakan tanggungjawab parti terhadap kebajikan dan keprihatinan terhadap rakyat.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam kenyataan mendedahkan tindakan Muhyiddin dan 12 menteri PN mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong membuatkan baginda kecewa dengan perkembangan politik semasa.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, pembubaran Parlimen adalah rentetan daripada tindakan Muhyiddin dan 12 menteri terbabit yang menunjukkan sikap tidak wajar.