KUALA LUMPUR, 12 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewajarnya menegur tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memberi tekanan untuk segera membubarkan Parlimen.

Ketua Badan Perhubungan Kawasan Perikatan Nasional (PN) Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, ia berikutan tekanan pimpinan UMNO itu jelas disampaikan oleh Ahmad Zahid secara terbuka melalui Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Isnin.

“Malah beliau (Ismail Sabri) perlu jujur dan mengakui bahawa beliau telah ditekan dan dipaksa melakukan pembubaran ini atas desakan pimpinan parti UMNO,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Kamarudin turut menyifatkan kenyataan Ismail Sabri berhubung tindakan 12 menteri PN yang menghantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak ikhlas, memesong dan palsu.

“Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang telah cuba mengalihkan tanggungjawab membubarkan Parlimen ini pada ketika ini adalah kononnya terletak terhadap menteri-menteri PN kerana mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Seluruh negara telah sedia maklum berbulan-bulan sebelum warkah menteri PN dikeluarkan, pimpinan tertinggi UMNO terutama Presidennya, Ahmad Zahid yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah telah bertubi-tubi kali mengarah Ismail Sabri untuk segera membubarkan Parlimen.

“Warkah menteri-menteri PN tersebut adalah satu reaksi yang perlu terhadap tuntutan yang bersifat mementingkan diri sendiri dari kalangan pimpinan parti UMNO sendiri,” katanya.