KUALA LUMPUR, 12 Okt – Tindakan 12 menteri Kabinet mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong adalah selaras keputusan parti yang diwakili mereka yang tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan beliau menandatangani dan menghantar surat itu adalah seperti diputuskan PAS dan BERSATU yang tidak mahu PRU-15 diadakan.

“Keputusan parti adalah tidak mahu membuat PRU-15 dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun selalu mengatakan dirinya adalah ‘party man’ (orang kuat parti). Saya hormat cara beliau menjawab.

“Maka saya pun sebagai ‘party man’, kena dengar kepada (keputusan) parti. Apabila parti kata tidak sesuai sekarang (PRU-15), saya pun ikut sama tak sesuai (diadakan PRU-15).

“Sama juga dengan beliau (Ismail Sabri), sekiranya Presiden dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata nak ada pilihan raya sekarang, maka beliau kena ikut,” katanya pada sidang media Taklimat Op Banjir di Bukit Aman di sini, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata, tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) itu mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri juga berkata, tindakan menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri dan penyandang kerusi Parlimen Larut berkata, adalah normal untuk mana-mana wakil parti mengutus surat kepada sesiapa.

“Seperti dikatakan Perdana Menteri berkenaan surat itu sebelum ini, beliau mengatakan perkara itu adalah normal, namun selepas beberapa hari, beliau mengeluarkan kenyataan mengatakan sebaliknya.

“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena di sini. Saya faham kedudukan ini boleh berlaku sebab kita sudah bincang dalam Kabinet bahawa kadang-kadang kita fikir tanggungjawab mewakili parti tertentu, tiada pilihan.

“Sama juga dengan Perdana Menteri, beliau tiada pilihan apabila partinya (UMNO) mengarahkan beliau membuat sesuatu dan perlu akur,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, keabsahan kerajaan tidak tergugat walaupun 12 anggota Kabinet daripada PN menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini.

Perdana Menteri menegaskan, tindakan 12 menteri PAS dan BERSATU itu tidak menjejaskan keutuhan kerajaan kerana sokongan kepada seseorang Perdana Menteri adalah tertakluk pada majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat dan bukan anggota Kabinet.