KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang secara terbuka berkata kepemimpinan parti kompenan BN itu akan menghadapi perbicaraan jenayah sekiranya mereka tewas lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dilihat antara sebab mengapa pilihan raya mahu dipercepatkan.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan BERSATU, Kamarudin Mohd Kasim berkata ini kerana, pada tafsiran mereka, mengadakan pilihan raya ketika musim banjir bakal menyumbang kemenangan kepada UMNO-BN.

“Itu sebab nak PRU15 dipercepatkan kerana time ni sahaja bagi UMNO-BN mereka boleh menang.

“Jika time ini pun mereka kalah, maka bersiap sedia kata Zahid Hamidi,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Bercakap pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 pada Isnin lalu, Ahmad Zahid mendakwa, bagi mengelakkan hal itu berlaku, Zahid ‘mewajibkan’ BN untuk mencapai kemenangan dalam PRU15 nanti.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, BN perlu menjadi dominan dalam kerajaan selepas ini.

Ahmad Zahid juga menegaskan PRU akan datang – yang belum ditetapkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya – adalah ‘ibu’ segala PRU di negara ini.

“Kalau kita kecundang, nasib kita lebih buruk daripada PRU14.

“Bukan saya saja kena dakwa (di mahkamah), Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan), kamu dalam senarai menunggu. Tan Sri Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran) jangan ketawa… kamu juga termasuk. Apa lagi Datuk Seri Saravanan (timbalan presiden MIC) dan menteri sumber manusia sementara).

“(Presiden MCA dan menteri pengangkutan sementara Wee) Ka Siong? Mereka tidak akan melupakan kamu. Kamu juga akan didakwa. (Menteri pertahanan sementara) Hisham (Hishammuddin Hussein) jangan senyum.

“Bagi mengelakkan (perkara) ini, kita wajib menang dengan dominan di dalam PRU ke-15 ini saudara dan saudari,” kata Zahid dengan bersemangat.

Klip sedutan ucapan tersebut kini tular di media sosial.