KUALA LUMPUR, 13 Okt – Keputusan PAS mempertahan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) menggambarkan semangat setia kawan dalam kalangan kepemimpinan parti itu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada PN untuk menggerakkan jentera secara lebih tersusun dan bersatu padu, dalam usaha meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya amat menghargai keputusan Jawatankuasa PAS Pusat untuk memperkukuh kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU-15.

“Secara peribadi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan rakan-rakan pimpinan PAS yang terus istiqamah mempertahan kerjasama PAS dalamPN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, PAS mengumumkan mempertahan kerjasama dengan PN dengan keputusan itu dibuat atas dasar penyatuan ummah.

Muhyiddin turut menzahirkan harapan supaya gabungan itu memperoleh kemenangan pada PRU-15.

“Saya mendoakan semoga PN mendapat mandat rakyat dalam PRU-15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini berkata, ketidakpastian hubungan PAS dengan UMNO membuka laluan kepada PN untuk menjadi lebih kuat dan efektif, khususnya berpeluang memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU-15.