PUTRAJAYA, 13 Okt – Syor yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk dilaksanakan oleh kerajaan, bukan satu cadangan bodoh, kata Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, Muhyiddin berkata cadangan berkenaan dibuat oleh pakar-pakar yang menganggotai MPN yang bermesyuarat dan membincangkan masalah dihadapi rakyat, terutama untuk menangani pandemik Covid-19 dan isu ekonomi.

Muhyiddin turut mengimbas ketika menjadi Perdana Menteri dahulu apabila beliau sendiri mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang setiap minggu mengadakan mesyuarat serta mengambil tindakan dengan pantas.

“Ketika itu adalah masa baharu nak menghadapi pandemik. Saya mempengerusikan (mesyuarat MTEN), dan saya tubuhkan majlis ini (MPN) ketika menjadi Perdana Menteri… saya serius melakukan demi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini, hari ini.

“Saya dituduh mengkritik Perdana Menteri dan kerajaan… saya tak peduli… saya lebih peduli nasib rakyat… sebab itu bila saya (MPN) dah buat cadangan… cadangan bukan cadangan bodoh… pakar-pakar yang datang (buat cadangan).”

Muhyiddin juga berkata kerajaan sepatutnya menyediakan laluan hijau bagi memudahkan pelaksanaan segala cadangan yang telah dibuat oleh MPN supaya bantuan kepada pihak yang memerlukan dapat dibercepatkan.

“Jadi kalau dah ada cadangan banyak, yang saya dah ulas hari itu, 20 peratus kalau ambil kira pun sebahagian besarnya di sektor kesihatan…dan 20 peratus itu bermula waktu saya juga.

“Macam mana kita nak menangani pandemik Covid, macam mana nak buat suntikan vaksin, dapat bekalan fasa satu, dua, tiga. empat… dan disebabkan sistem dah tersusun rapi, maka Kementerian Kesihatan (KKM) dapat meneruskan… tidak ada masalah.

“Jadi dia punya itu cukup efisien… pujian untuk KKM. Tapi itu satu sektor sahaja. Sekarang ni kita dah okey lebih sikit. Itu dari segi kesihatan. Tapi sektor lain… kehidupan rakyat, bahagian yang belum cukup efisyen,” katanya.

Menurutnya mungkin sesetengah cadangan itu melibatkan dasar atau peruntukan tambahan yang perlu dibincangkan dengan segera.

“Kalau duduk atas meja, KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) ke siapa ke tunggu berbulan-bulan untuk sampai balik pada Kabinet nak minta peruntukan… saya tahu saya mobilize satu-satu sebelum saya memperoleh keputusan.

“Tapi prosesnya mengambil masa. Dia tak boleh cakap hari ni dapat besok dibuat… tak boleh kena balik mesyuarat, mesyuarat, mesyuarat. Itu saya faham.

“Tapi kalau ini patutnya apa isu yang dibawa oleh MPN dia bagi green lane… macam dilakukan Imigresen. Kalau green lane itu cepat lalu saja… kalau tidak nanti dia pergi check satu-satu buka tengok gini gini gini lambatlah,” katanya.