KUALA LUMPUR, 13 Okt – Bekas pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya Parlimen tidak dibubarkan.

Menurut Dr Mahathir, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak seharusnya menyalahkan tindakan yang diambil oleh 12 menteri terbabit.

Dr Mahathir berkata, parti komponen dalam kerajaan campuran yang diterajui Ismail Sabri berhak memberi pandangan.

“PRU awal. Wahai PM, tak usahlah salahkan PN 12. Walaupun PM berhak membuat keputusan sendiri tetapi dalam Kerajaan campuran pengetahuan dan persetujuan parti komponen berhak memberi pandangan mereka.

“Memang pun UMNO yang hendak PRU awal. Pedulikan banjir.

“Yang penting ialah UMNO menang dan penjenayah-penjenayah elak dari dihukum segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Oktober lalu, Ismail Sabri berkata, tindakan tidak wajar 12 menteri Kabinet yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Ismail Sabri berkata, tindakan 12 menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong.