KUALA LUMPUR, 15 Okt – BERSATU membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BERSATU akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang tidak mahu mengadakan kerjasama dengan BERSATU.

“BERSATU akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan PN bersama PAS, Gerakan, SAPP dan STAR Sabah sebagai gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepimpinan yang bebas rasuah, cekap dan prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.

“Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, BERSATU bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU15 melibatkan PN, BN, PH dan parti-parti politik lain yang akan bertanding,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, Pakatan Harapan (PH) telah membuat keputusan muktamad tiada kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui GTA dan PN.

Jelasnya, PH tidak mempunyai sebarang hasrat untuk bekerjasama dengan parti-parti terbabit dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).