ALOR SETAR, 15 Okt – Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU Kedah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak dibubarkan.

Penegasan itu dibuat oleh ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail bagi menepis spekulasi yang mendakwa kerajaan negeri PN Kedah akan goyah selepas ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob meletakkan jawatan sebagai Exco pada Khamis.

Ku Abd Rahman berkata, kerajaan negeri tidak akan tergugat dengan peletakan jawatan Suraya yang merupakan ADUN UMNO.

“Saya yakin tiada ADUN BERSATU yang akan menyokong sebarang usaha mahupun desakan agar DUN Kedah dibubarkan.

“Kedudukan kami dalam kerajaan negeri juga tidak berubah dan kerajaan PN Kedah masih stabil,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua enam ADUN BERSATU di Kedah tidak terpengaruh dengan sebarang anasir yang boleh menggugat kestabilan politik di negeri ini dan akan meneruskan tugas masing-masing sehingga DUN Kedah dibubarkan.

“Kita tidak perlu terlalu banyak politiking. Tumpuan harus diberikan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya.

Selain Ku Abd Rahman, lima lagi ADUN ialah Mohd Firdaus Ahmad (Kuah), Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Juhari Bulat (Ayer Hangat), Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam).

Daripada enam ADUN BERSATU, lima merupakan Exco kerajaan negeri dan seorang merupakan Speaker DUN Kedah.

Pada Khamis, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU15 selain mengekalkan pendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Berikutan itu, Suraya yang merupakan Ketua Penerangan UMNO Kedah melepaskan jawatan Exco dalam kerajaan PN Kedah susulan keputusan PAS, selain pendirian BN dan UMNO yang memilih bergerak solo pada PRU15 akan datang.

Pada ketika ini, DUN Kedah diterajui PN dengan 15 kerusi diwakili PAS dan enam merupakan BERSATU, manakala dua kerusi diwakili UMNO. Sementara Pakatan Harapan (PH) diwakili PKR dengan lima kerusi, Amanah (empat), DAP (dua) selain Pejuang sebanyak dua kerusi.

Dalam pada itu, Ku Abd Rahman tegaskan, tidak ada sebarang gerakan dalaman bagi menjatuhkan PN Kedah dan kerajaan negeri diyakini kekal teguh dan bersatu.

“Beberapa bulan berbaki ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk beri yang terbaik kepada rakyat khususnya di kawasan masing-masing selain terus berusaha memajukan Kedah.

“Malah saya ketika ini mengetuai misi perdagangan dan pelaburan KTPC (KulimTechnology Park Corporation) ke Amerika Syarikat bagi menarik pelaburan khususnya industri pembuatan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tiada sebarang perubahan dalam kedudukan kerajaan negeri dan semua ADUN meneruskan kerja masing-masing seperti biasa.

“Kami akan bekerja lebih keras dan lebih bersemangat. Era politiking untuk diri sendiri sudah berlalu. Politik sebenarnya adalah untuk rakyat,” katanya.

Sementara Mohd Firdaus menyatakan kekal setia bersama BERSATU bagi mengukuhkan pentadbiran di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Pembangkang mempunyai 11 kerusi, selain dua milik UMNO dan dua lagi Pejuang. Walaupun dua ADUN UMNO menarik sokongan dan keluar daripada PN Kedah atau sokong blok pembangkang sekalipun masih lagi tidak gugat kestabilan kerajaan negeri.

“Ini kerana PN masih memiliki majoriti untuk tadbir Kedah dengan 21 kerusi,” katanya.

Menurutnya, rakyat perlu peka dengan keadaan politik negeri bagi membolehkan mereka juga tidak terpedaya dengan dakyah untuk mendesak DUN dibubarkan.

“Kerajaan negeri Kedah yang ditunjangi Muhammad Sanusi cukup stabil. Kestabilan itu sebenarnya boleh bertahan sehingga tamat tempoh penggal.

“Selepas pilihan raya pun, saya rasa kerajaan negeri yang ada sekarang adalah kerajaan yang akan dipilih oleh rakyat,” ujarnya.