PAGOH, 15 Okt – Perikatan Nasional (PN) akan mendengar pandangan parti komponen sebelum melaksanakan sebarang kerjasama politik baharu termasuk dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan dan pandangan parti komponen perlu diambil kira untuk memperhalusi semua perkara bagi menilai sama ada kerjasama itu boleh memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

“Masing-masing (komponen PN) ada pengalaman sendiri dan ia akan menjadi titik tolak kepada perbincangan itu nanti.

“Pendapat ahli di peringkat akar umbi pun perlu diambil kira kerana jika rakyat tidak bersetuju (dengan kerjasama PN dan Pejuang) jangan sampai akhirnya PN akan hilang sokongan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Kenduri Rakyat di Panchor di sini, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya semalam mengenai kesediaan Bersatu mempertimbangkan kerjasama dengan Pejuang jika parti itu serius.

Berhubung persiapan berhadapan PRU15, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, PN Johor telah selesai menyenaraikan dan menyerahkan nama calon-calon kepada pimpinan pusat.

Beliau berkata, senarai akhir calon yang akan bertanding akan diputuskan kepimpinan peringkat pusat selari dengan pembahagian kerusi komponen dalam PN kelak.