KUALA LUMPUR, 15 Okt – Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menyambut baik dan menghargai keputusan PAS untuk terus memperkukuhkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) .

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas MPT malam tadi.

“Bagi memastikan kejayaan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BERSATU memberikan komitmen sepenuhnya untuk memantapkan serta memperhebat gerak kerja jentera bersama parti komponen PN yang lain iaitu PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) di semua peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, mesyuarat AJK PAS Pusat memutuskan parti itu memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU15.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.

Dalam mesyuarat itu juga, PAS memuktamadkan perbincangan agihan kerusi di negeri dengan PN.

Mengulas lanjut, Hamzah memaklumkan mesyuarat MPT juga memuktamadkan hala tuju kerjasama politik dan persediaan menghadapi PRU15.

“Mesyuarat juga membincangkan cadangan serta maklum balas berkaitan Manifesto PRU15 PN yang dirangka Jawatankuasa Manifesto Perikatan Nasional dipengerusikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin,” katanya.