PAGOH, 15 Okt – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ramai pengundi marah dan tidak suka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau berharap kemarahan itu tidak dijadikan alasan mereka untuk tidak keluar mengundi pada PRU-15 akan datang.

Katanya, tindakan tidak keluar mengundi hanya akan memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN).

“Walaupun kita tidak suka pilihan raya, kita kena bagitahu, jangan kerana anda benci, anda tidak mahu pilihan raya, anda tak keluar mengundi, esok BN menang.

“Anda tak keluar BN menang,” katanya pada Majlis Ramah Mesra di Pekan Panchor, Pagoh pada Jumaat.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, BN dan UMNO sengaja memilih waktu ini mengadakan PRU-15 kerana tahu jika berlaku banjir orang tidak akan keluar mengundi.

“UMNO tahu kalau pengundi keluar sikit, lagi bagus sebab UMNO akan mengerah orang lama (ahli-ahli) keluar mengundi,” katanya.

Muhyiddin berkata, pengundi di Pagoh diharap dapat menilai kemajuan dan pembangunan yang sudah berlaku di Pagoh hasil daripada usaha beliau sejak menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Sehubungan itu beliau meminta pengundi di Pagoh yang kini sudah meningkat kepada 69,000 orang berbanding 52,000 sebelum ini memberi sokongan padu kepada calon PN.

“Siapa sangka di Pagoh kini sudah memiliki universiti awam, ada 16,000 pelajar yang akan memberi kesan kepada ekonomi setempat.

“Jika pilih calon PN lagi banyak kamajuan akan di bawa ke Pagoh, termasuk universiti bertaraf antarabangsa,” katanya.