PAGOH, 16 Okt – Jualan Prihatin Rakyat sebuah inisiatif Perikatan Nasional (PN) membantu meringankan beban rakyat yang dihimpit masalah kenaikan harga barang keperluan harian terus mendapat sambutan masyarakat setempat.

Di perkarangan Rumah Limas, Kundang Ulu Pagoh pada Sabtu 1,000 pek Jualan Prihatin Rakyat habis dijual tidak sampai dua jam.

Penerimaan baik masyarakat setempat tanda inisiatif yang diilhamkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sesuai dengan keinginan rakyat yang masih memerlukan bantuan yang dapat meringankan beban kewangan harian.

Rata-rata mereka ditemui berharap Jualan Prihatin Rakyat dapat diadakan lebih kerap pada masa akan datang.

Mazeni Abdul Majid berkata, beliau tidak berfikit dua kali untuk datang selepas mengetahui melalui media sosial jualan itu akan diadakan.

“Alhamdulillah boleh membantu sikit khusus untuk golongan B40. Walaupun nilai kita beli RM20, kalau kita beli di kedai memang tidak dapat harga seperti itu,” katanya.

Hisham Saripan pula berkata, jualan seperti itu perlu diadakan selalu kerana ia benar-benar memanfaatkan rakyat.

“Memang berbaloi lah. Satu paket beras Faizah bukan murah. Jadi dengan harga RM20 itu berbaloi,” katanya.

Ng Tiang Hock pula berkata, harga yang ditawarkan di bawah program Jualan Prihatin Rakyat sangat murah.

“Memang untung. Patut buat selalu sebab bagi orang-orang di kampung bantuan seperti ini amat bermakna,” katanya.

Menerusi Jualan Prihatian Rakyat PN, orang ramai berpeluang membeli pek barangan keperluan harian mengandungi beras 5kg, seekor ayam dan sepapan telur.

Sementara itu Wan Sofiyan berkata, amat bersyukur dapat membeli barang keperluan pada harga murah.

“Saya harap hari-hari akan datang boleh buat lagi program seperti ini,” katanya.