PASIR PUTEH, 16 Okt – BERSATU Kelantan mahu menggempur seterusnya menawan kerusi yang dimenangi oleh UMNO sebelum ini pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata kawasan parlimen yang dimaksudkan itu ialah Ketereh, Machang dan Gua Musang.

“Daripada 14 kawasan parlimen di negeri ini, kita hanya menawarkan perkhidmatan di tiga kawasan Parlimen menerusi kerjasama dengan PAS di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Senarai nama tokoh terbabit juga sudah dibincangkan bersama kepemimpinan PAS sebelum Dewan Rakyat dibubarkan dan proses itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Bahagian BERSATU Pasir Puteh di sini, pada Sabtu.

Kamarudin memberitahu, bagaimanapun cadangan tersebut tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

Katanya, keputusan untuk bertanding di tiga kawasan parlimen juga adalah sebahagian persetujuan kepemimpinan BERSATU negeri berdasarkan cadangan ahli di peringkat akar umbi.