MASJID TANAH, 16 Okt – Senarai nama calon Srikandi BERSATU untuk dipertimbangkan bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu depan.

Mereka yang disenaraikan adalah dalam kalangan profesional dan berkaliber, bukan setakat ahli Srikandi yang berusia lebih 35 tahun, malah dalam kalangan pemimpin Srikandi Muda yang berusia kurang 35 tahun.

Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata beliau diamanahkan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun untuk melengkapkan senarai nama sebelum dibincangkan dalam kalangan pemimpin tertinggi sayap berkenaan.

“Kami akan bincang dan bawa kepada Presiden BERSATU antara esok hingga hujung minggu untuk dimuktamadkan.

“Oleh sebab ada beberapa negeri tidak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi nama itu setakat babit negeri yang bubar DUN, selain peringkat Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Fit Forever’ yang menyediakan acara sukan futsal, bola sepak sembilan sebelah, memanah, larian sejauh tujuh kilometer dan catur untuk belia di Kompleks Sukan Rakan Muda, di sini hari ini.

Mas Ermieyati yang juga penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, berkata calon Srikandi bukan setakat profesional, malah komited untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat sama ada di DUN atau Parlimen, selain sumbangan kepada usaha BERSATU untuk menang PRU-15.

Enggan mendedahkan jumlah nama itu, beliau berkata, meskipun baharu berusia enam tahun, BERSATU komited untuk memberi perkhidmatan kepada komuniti melalui konsep perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengabaikan kepentingan Bumiputera.

“Saya yakin calon Srikandi akan turut diberikan keyakinan oleh pengundi untuk mewakili rakyat di DUN dan Parlimen kerana selama ini pun, wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) sudah membuktikan kemampuan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.