TASEK GELUGOR, 17 Okt – BERSATU akan mengemukakan hujah terbaik bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tasek Gelugor supaya kekal menjadi milik BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Langkah itu akan dilakukan selepas PAS juga bercadang untuk bertanding di kerusi tersebut.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata BERSATU memberikan kebebasan kepada setiap parti untuk mengemukakan pandangan dan keinginan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Walaupun daripada segi prinsip, kerusi yang BERSATU menang sudah semestinya akan kekal menjadi milik parti namun kita masih beri peluang untuk PAS mengemukakan cadangan mereka.

“Sekiranya hujah untuk mengatakan mereka (PAS) lebih berpeluang di kawasan ini (Parlimen Tasek Gelugor) maka saya yakin pihak Perikatan Nasional (PN) akan dengar pandangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Prihatin PN Parlimen Tasek Gelugor di sini, pada Ahad.

Ketika disoal sama ada BERSATU sedia melepaskan kerusi Tasek Gelugor kepada PAS, Wan Saiful menegaskan, parti masing-masing boleh mengemukakan hujah.

Namun, ia tidak bermaksud BERSATU sedia melepaskan kerusi tersebut.

“Saya tak kata kita sedia lepaskan kerusi itu (Parlimen Tasek Gelugor) tapi kita akan beri hujah kita, PAS pun akan kemukakan hujah mereka untuk kita bincang secara sihat.

“Itu budaya yang baik dalam BERSATU kita akan bincang bagi mencapai keputusan yang terbaik buat Perikatan Nasional (PN),” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan PAS sedia meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tidak lama lagi.

Yang Dipertua Pas Tasek Gelugor, Mohd Sobri Saleh berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai muktamad calon untuk diletakkan di kerusi berkenaan.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, rundingan kerusi antara parti komponen PN sedang berjalan dan keputusan berapa kerusi akan ditandingi BERSATU dalam PRU15 akan diumumkan kelak.

“Kalau tanya berapa kerusi untuk BERSATU, kita kena tunggu pengumuman rasmi kerana di peringkat akhir ni ada beberapa perubahan, ada permintaan.

“Sudah pasti ada perbincangan dan perbahasan yang sedang berjalan membabitkan pembahagian kerusi, jadi kita tunggu keputusannya nanti,” jelas beliau.