KUALA LUMPUR, 17 Okt – Strategi ‘kita jaga kita’ adalah elemen terpenting bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), khususnya di 27 kerusi kritikal yang ditandingi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata memandangkan jalan ke arah rundingan membabitkan ketiga-tiga parti Melayu terbesar, iaitu UMNO, PAS dan BERSATU sukar dicapai, maka tumpuan perlu diberikan untuk mengukuhkan kerjasama membabitkan semua parti yang bekerjasama melalui PN.

“Secara peribadi, saya berpandangan patut wujud rundingan (UMNO, PAS, BERSATU) dari awal lagi. Namun, ia mungkin agak terlewat terutama apabila BERSATU sudah isytihar BN sebagai musuh utama dalam PRU ini, manakala UMNO pula melaungkan ‘No PPBM’ dalam Perhimpunan Agung UMNO selama dua tahun berturut-turut.

“Saya fikir, PAS perlu realistik dalam hal ini bahawa BERSATU tidak akan berkompromi dengan UMNO yang didominasi kluster mahkamah,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas muka depan BH hari ini mengenai saranan pihak tertentu, termasuk penganalisis politik supaya UMNO-BN, PAS dan BERSATU-PN berunding sebelum penamaan calon bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi kritikal.

Rundingan itu dikira penting dalam usaha mengelakkan 27 kerusi panas itu menjadi milik PH, seperti berlaku pada PRU-14.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, pengukuhan kerjasama gabungan PN, terutama bagi menambat hati rakyat adalah usaha paling ideal untuk dilakukan ketika ini.

“Penting untuk menambat hati rakyat supaya menolak pihak yang ultra liberal dan korup dalam PRU ini.

“Kita patut jaga sesama kita, jangan fikir pasukan lain. Perlu realistik dan ikut ketetapan kepemimpinan tertinggi Perikatan Nasional melalui musyawarah dalam Majlis Tertinggi PN,” katanya.