TASEK GELUGOR, 17 Okt – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi pengalamannya ketika menguruskan krisis penularan Covid-19 dengan menyelit keputusan Menteri Kewangan yang sebelum ini dilantiknya menyertai UMNO dan antara yang disebut-sebut bakal calon di Parlimen Kuala Selangor.

Muhyiddin berkata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika dilantiknya dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diarahkan untuk mengambil langkah segera bagi membantu rakyat yang terjejas ekoran sekatan pergerakan yang dilaksanakan untuk mencegah penularan Covid-19.

“Waktu kita tutup PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) saya fikir orang yang duduk di rumah ini apa nak makan… pasal saya pun datang dari kampung… dan ini adalah masalah yang terpaksa kita tangani.

“Sebab itu saya arahkan Menteri Kewangan, tapi Menteri Kewangan yang saya lantik dah jadi ahli UMNO pula… orang kata kacang lupakan kulit.. tak apa lah apa-apa pun,” kata Pengerusi PN itu pada program Jelajah Prihatin PN Parlimen Tasek Gelugor, di sini, pada Ahad.

Untuk rekod, Tengku Zafrul dibawa masuk Muhyiddin ke dalam kerajaan setelah dilantik menjadi PM Kelapan pada 1 Mac 2020. Beliau kemudian mengumumkan pembentukan Kabinet pada 9 Mac.

“Saya beritahu Zafrul bila kita umum tutup (PKP), cepat-cepat sekarang buat kerja. Kita nak tengok berapa duit ada supaya dengan wang yang ada itu boleh dibelanjakan untuk tolong rakyat yang susah.

“Sebab itu akhirnya lapan pakej rangsangan yang saya keluarkan jumlahnya RM530 bilion. Dibelanjakan untuk bantu semua rakyat Malaysia, termasuk untuk membeli vaksin melawan Covid-19,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata langkah yang diambilnya tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila mengeluarkan peruntukan yang besar demi untuk menjaga nasib rakyat.

Sebab itu, katanya, Jelajah Prihatin PN untuk menerangkan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa gabungan ini adalah sebuah parti yang cukup prihatin dengan nasib rakyat.