KUALA LUMPUR, 17 Okt – Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diwujudkan pada 21 Julai tahun lalu berperanan untuk memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta PPN2.0 bagi memastikan ekonomi negara kembali pulih terutamanya sektor-sektor yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengusaha PMKS merupakan antara yang paling terkesan akibat pandemik dan antara masalah yang sering dibangkitkan adalah isu kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan di samping aliran tunai yang tidak mencukupi.

Ahli MPN, Datuk Michael Kang memaklumkan, ketika ini Malaysia memerlukan seramai 500,000 pekerja warga asing bagi menangani masalah berkenaan seterusnya menyokong proses pemulihan negara.

“Setakat ini sebanyak 1.15 juta permohonan kuota pekerja asing telah diterima untuk semua sektor sehingga September tahun ini dan 40.5 peratus atau 467,223 kuota telah diluluskan.

“Sehingga 12 September lalu, hanya 76,000 pekerja asing telah dibawa masuk ke Malaysia dan difahamkan, bulan ini (Oktober) akan masuk lagi 100,000 hingga 200,000 pekerja asing.

“Kita kekurangan kira-kira satu juta (pekerja asing) lagi, kalau kita bawa masuk 500,000 lagi barulah cukup untuk bantu (pemulihan PMKS),” katanya dalam sidang akhbar di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sentral pada Jumaat.

Dalam pada itu, Michael turut memaklumkan, masalah pengusaha PMKS yang terjejas ketika pandemik Covid-19 termasuk isu-isu berkaitan, sering kali dibincangkan di mesyuarat-mesyuarat MPN.
Justeru katanya, golongan berkenaan memerlukan bantuan sewajarnya daripada kerajaan terutama dalam polisi-polisi sedia ada bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja asing serta aliran tunai.

Sebagai usaha membantu golongan terjejas, MPN telah menyarankan kerajaan untuk mewujudkan polisi laluan hijau (green lane) khusus kepada perusahaan PMKS bagi membantu mereka kembali aktif dalam pasaran.

Beliau berkata, antara penekanan yang perlu dipertimbangkan dalam polisi itu nanti adalah mempermudahkan prosedur permohonan tenaga kerja warga asing.

Oleh itu tegasnya, kerenah birokrasi dalam segelintir agensi hingga menyebabkan operasi PMKS menjadi rencat harus dielakkan kerana akan memberi impak kepada ekonomi negara.

“Kekurangan tenaga kerja warga asing secara tidak langsung menyebabkan banyak kerja dan operasi PMKS tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

“Masalah ini sudah juga dibincangkan dengan kerajaan sebelum ini dan kita minta sekurang-kurangnya kelulusan segera 50 peratus daripada jumlah tenaga kerja yang dimohon.

“Sebagai contoh, jika kita meminta 100 orang (tenaga kerja warga asing), agensi berkaitan perlu meluluskan sekurang-kurangnya 50 orang tanpa melalui prosedur rumit dan mengambil masa yang lama,” katanya.

Jelasnya, langkah ini secara tidak langsung dapat membantu PMKS untuk kembali menjalankan perniagaan mereka terutama sektor pembinaan, pelancongan dan peruncitan.

Sementara itu, Michael berkata, sektor pelancongan pada ketika ini berada dalam keadaan kritikal rentetan kekurangan tenaga kerja warga asing selain faktor jumlah pelancong dari luar negara yang berkurangan.

Ujarnya, situasi itu dapat dilihat apabila ada beberapa hotel yang mempunyai kapasiti 800 bilik tetapi hanya mampu menyediakan 300 bilik sahaja ekoran kekurangan tenaga kerja.

Katanya, bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja, MPN telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya satu Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui Kementerian Sumber Manusia diwujudkan bagi meneliti permasalahan pengambilan pekerja asing serta mencari jalan penyelesaian segera.

“MPN berpandangan langkah-langkah segera perlu diambil bagi mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing oleh semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara.

“Kita juga telah mengemukakan dua syor utama kepada kerajaan bagi menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan PMKS iaitu penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” jelasnya.

Menurut Michael,MPN juga telah mengesyorkan supaya pihak bank diberi kebenaran untuk meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) kepada PMKS yang memerlukan.