TASEK GELUGOR, 17 Okt – Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) akan membuat keputusan berhubung penggunaan logo parti komponen sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam tempoh seminggu lagi.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata setiap parti komponen bebas untuk menyuarakan pandangan serta cadangan masing-masing selagi keputusan belum dicapai di peringkat PN Pusat.

Kata beliau, MT PN akan membuat keputusan terbaik bagi memastikan logo yang bakal digunakan akan menunjukkan kesatuan parti sekali gus memudahkan rakyat membuat pilihan.

“Cadangan PAS dan Gerakan untuk menggunakan logo sendiri akan dibincangkan di peringkat tertinggi PN, bila kita sudah ada keputusan, insya-Allah semua (parti) akan ikut.

“Sebelum ini memang sudah ada perbincangan berkenaan perkara ini tapi belum muktamad, sebab di dalam PAS, Bersatu, Gerakan ada pandangan tersendiri dan kita meraikan setiap pandangan kerana sudah pasti setiap parti ada hujah masing-masing.

“Dalam seminggu ini akan dimuktamadkan dan kita tunggu pengumuman. Keputusan akan dibuat sebelum penamaan calon,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Jelajah Prihatin PN Parlimen Tasek Gelugor, di sini pada Ahad.

Jelajah Prihatin PN itu disempurnakan Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan parti itu akan terus menggunakan logo sendiri di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU-15, namun logo PN kemungkinan akan digunakan di negeri lain.

Sementara itu, Parti Gerakan Pulau Pinang juga mahu menggunakan logo sendiri di negeri itu kerana pengundi lebih mengenali logo Gerakan yang telah 39 tahun memerintah negeri itu.

Dalam pada itu, ditanya tindakan PAS menawarkan diri bertanding kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful berkata, perkara tersebut juga akan dibincangkan di peringkat MT PN kelak.

“Saya mengalu-alukan cadangan PAS untuk mereka bertanding di sini, tetapi kerusi kawasan ini disandang BERSATU.

“Biasanya, dari segi prinsip yang kita pegang, penyandang adalah kekal, jadi secara prinsipnya juga, kerusi ini adalah untuk BERSATU.

“Tetapi, jika PAS ada cadangan atau idea yang mungkin boleh menjadi hujah yang mengatakan mereka lebih berpeluang, maka saya yakin di peringkat PN akan dengar pandangan tersebut,” katanya.