PUTRAJAYA, 17 Okt – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menggerakkan pegawainya ke lokasi banjir bagi memudahkan urusan pembaharuan dokumen pengenalan diri yang hilang akibat bencana itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata inisiatif itu yang dilaksanakan melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bawah JPN, secara langsung dapat turut membantu mangsa banjir terbabit untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Program MEKAR JPN akan menyelesaikan permasalahan dokumen membabitkan individu di pedalaman atau mereka yang menghadapi bencana seperti banjir. Sebagai contoh jika berlaku banjir sebelum PRU, sudah tentu akan menyusahkan pengundi jika dokumen pengenalan diri hilang. Bagaimana mereka hendak mengundi jika tiada kad pengenalan?

“Oleh itu, JPN sudah memikirkan ini semua, ia demi kepentingan rakyat. JPN sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2022, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, JPN sudah membuat persiapan rapi dengan memfokus kawasan yang terjejas.

“Kita sudah bersedia untuk menghantar pegawai JPN ke tempat tertentu. Namun sekiranya ditanya untuk semua kawasan, minta maaf kita masih tidak bersedia. Untuk memberi fokus pada kawasan terjejas, JPN sudah bersedia.

“Ini kerana di Malaysia, banjirnya berfokus, kejap di sini dan kejap di sana, ia (banjir) tidak datang sekali satu Malaysia. Contohnya, (banjir) semalam di Langkawi, sebelum itu di Johor dan Sarawak,” katanya.