KUALA TERENGGANU, 18 Okt – BERSATU Terengganu menganggap keputusan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai “poster boy” pada pilihan raya negeri akan datang bakal memberi kelebihan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata pemilihan Ahmad juga ibarat “memberi bola tanggung” kepada PN, memandangkan lebih banyak modal politik kegagalan ADUN Kijal itu semasa menjadi menteri besar boleh dibangkitkan.

“Kita tak ada masalah untuk lawan UMNO-BN, dengan meletakkan Ahmad sebagai ‘poster boy’.

“Ia memberi kelebihan kepada kita, banyak modal kita boleh bangkitkan,” katanya kepada FMT.

Razali berkata, melihat kedudukan BN Terengganu ketika ini sekalipun mempertaruhkan Ahmad Said parti itu bakal berdepan laluan sukar merampas kerajaan negeri daripada PAS sekiranya pilihan raya negeri diadakan serentak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya tak nampak mereka boleh menang dan menguasai Terengganu pada PRU-15,” katanya.

Razali juga menyuarakan rasa hairan mengapa BN masih mempertaruhkan individu “kitar semula” untuk diangkat sebagai menteri besar seperti Ahmad, sedangkan ADUN Kijal itu bukan individu kental jiwanya apabila pernah mengumumkan keluar parti pada 2014.

“UMNO-BN pada PRU14 sudah kalah lebih 2/3 kerusi di Terengganu, sepatutnya angkatlah muka baharu, tapi pelik masih lagi bertuankan orang lama. Sekarang orang muda nak kepimpinan muda dan segar, malah Ahmad juga pernah keluar UMNO dan masuk balik, kalau dari segi perjuangan beliau itu tak begitu kental sangatlah.

“Dalam UMNO ramai muka baharu boleh diangkat sebagai ‘poster boy’ dan menteri besar…yang mampu bawa perubahan kepada Umno-BN kalau diberi peluang,” katanya sambil memaklumkan kerajaan PAS Terengganu boleh dikekalkan melalui kerjasama PN.

Ditanya soal pembahagian kerusi antara BERSATU dan PAS melalui PN, Razali berkata, gabungan itu tidak mempunyai masalah besar untuk diselesaikan dan lebih mudah memandangkan BN bertegas tidak mahu bekerjasama.

Sebelum ini FMT melaporkan BN Terengganu mempertaruhkan Ahmad sebagai “poster boy” dalam usahanya merampas kembali tampuk pemerintahan daripada PAS.

Setiausaha UMNO negeri, Rozi Mamat, berkata ketua UMNO Terengganu itu akan dilantik sebagai menteri besar, jika BN berjaya menawan semula Terengganu.