KUANTAN, 18 Okt – Amalan melompat dari satu parti ke parti lain membabitkan ahli mahupun pemimpin daripada mana-mana parti adalah perkara biasa.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbuatan itu adalah perkara sama yang dilakukan oleh semua pihak.

“Kalau BN tidak berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ramai ahli UMNO akan lompat masuk ke kita (BERSATU).

“Jadi sama sahaja, akan ada ahli dan pemimpin akan melompat untuk sertai UMNO atau BERSATU,” katanya ringkas ketika menjawab dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil kononnya ramai ahli dan pimpinan BERSATU akan menyertai UMNO atau PAS selepas PRU15.

Beliau sebelum itu hadir pada majlis pelancaran Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022 di sini pada Rabu.

Majlis dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada 16 Oktober lalu, Isham dilaporkan berkata, kegagalan BERSATU untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang boleh menjadi pengakhiran kepada parti itu, dengan ahlinya kembali semula kepada UMNO atau menyertai PAS.