KUALA LUMPUR, 18 Okt – Rakyat perlu faham bahawa PAS dan BERSATU bersungguh-sungguh mahu menjaga perpaduan ummah.

Namun, tindakan UMNO menolak perkara itu menyebabkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Muafakat Nasional (MN) yang ketika itu dianggotai PAS dan UMNO telah menjemput BERSATU untuk menyertainya, tetapi gagal direalisasikan disebabkan kebuntuan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan parti itu sendiri.

“Jadi, ini telah digagaskan oleh UMNO. Maka apabila kami (PN) yang akan menghadapi pilihan raya… dengan BERSATU yang kalau kita lihat akan bertarung di kerusi-kerusi majoriti Melayu… apakah kita masih nak terus katakan kerjasama dengan UMNO sedangkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi ini, kalau tanpa ada perpaduan, tentunya kita akan bertanding berdepan dengan UMNO.

“Dan di situ yang Presiden BERSATU sebutkan sebagai musuh utama BERSATU dan Perikatan Nasional adalah UMNO, BN… kerana kami akan berdepan di kerusi-kerusi yang mempunyai ramai pengundi Melayu.

“Jadi itu maksudnya supaya anak buah (akar umbi PN) di bawah jelas… kerana kita tak tahu nak tembak ke mana… tetapi UMNO jelas, terus tembak kepada BERSATU. UMNO jelas tembak… kalau PAS nak kerjasama dengan UMNO, kena tinggalkan BERSATU… jelas. Jadi kami pun perlu tunjukkan yang jelas… okay kalau itu kehendak UMNO, maka kita terpaksa berdepan di dalam pilihan raya yang akan datang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian demikian ketika program temu bual Agenda Awani yang bertajuk PRU15: Biar Rakyat Menilai, Buat Pilihan, pada Selasa.

Ahmad Faisal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata disebabkan mahu menjaga perpaduan ummah dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau dan Muhyiddin tidak mengambil tindakan apa-apa ketika dijatuhkan oleh UMNO suatu ketika dahulu.

Beliau memberi contoh ketika dijatuhkan daripada kerusi Menteri Besar Perak oleh UMNO yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada 5 Disember 2020, namun tidak mengambil apa-apa langkah menggugat kerajaan kerana mahu menjaga perpaduan ummah.

“Barisan Nasional yang berpakat dengan DAP untuk menjatuhkan saya sebagai Menteri Besar. Namun saya tidak menjerit, tetapi istiqamah kerana saya faham bahawa kepentingan untuk menjaga perpaduan ummah di dalam kerajaan, kestabilan kerajaan negeri Perak dan juga Kerajaan Pusat itu jauh lebih penting daripada saya sebagai pemimpin ataupun sebagai satu individu.

“Saya teruskan di peringkat Pusat apabila saya sendiri tak bercakap dengan Perdana Menteri waktu itu untuk mengeluarkan atau memecat seorang menteri lain dan memasukkan saya ke dalam Kabinet… kerana yang pentingnya kita nak jaga perpaduan ummah.

“Sehinggakan apabila 15 ahli Parlimen menarik sokongan kepada perdana menteri, apakah Muhyiddin melakukan satu perkara yang merosakkan perbuatan ummah? Tidak.

“Malah beliau memberi sokongan kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadi Perdana Menteri dan berusaha untuk menjaga kestabilan perpaduan ummah yang telah kita capai. Akhirnya yang berlaku ialah UMNO kekal menjauhkan diri walaupun PAS bersungguh-sungguh nak cari jalan untuk bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Ahmad Faizal berkata apa yang jelas ialah dua perhimpunan agung UMNO selama dua tahun berturut-turut telah menolak perpaduan bersama BERSATU.

“Dalam dua perhimpunan agung UMNO, dua tahun berturut-turut dengan jelas UMNO menolak BERSATU, menolak perpaduan, sedangkan MN yang telah menjemput kami (BERSATU) untuk bersama dengan mereka kemudian tidak direalisasikan,” katanya.