KUALA LUMPUR, 18 Okt – Malaysia bersetuju dengan langkah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluaran minyak sehingga dua juta tong sehari, berkuat kuasa pada November 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai memandangkan OPEC+ secara kolektif telah mengambil kira faktor-faktor yang melibatkan asas-asas pasaran, terutama dalam menangani ketidaktentuan berkaitan bekalan dan permintaan minyak di peringkat global.

“Malaysia menyokong inisiatif dan pendekatan proaktif OPEC+, termasuk dokumen kerjasama yang telah dimeterai pada 10 Disember 2016.

“Dokumen itu menyatukan negara pengeluar minyak untuk turut mematuhi mekanisme kukuh dalam menangani cabaran-cabaran pasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mustapha berkata, Malaysia selaku anggota OPEC+, akan turut meneruskan kerjasama penuh dengan pertubuhan itu bagi memastikan kestabilan pasaran minyak global berikutan prospek tidak menentu yang berpanjangan.

Pada awal Oktober lepas, OPEC+ telah mengumumkan tindakan melaksanakan langkah pengurangan jumlah pengeluaran minyak terbesar sejak 2020 yang membabitkan dua juta tong sehari susulan ketidaktentuan ekonomi global dan prospek pasaran.

Malaysia akan mengurangkan pengeluaran minyak mentah harian sebanyak 27,000 tong kepada 567,000 tong di bawah rancangan penurunan pengeluaran secara kolektif oleh OPEC+.