KUANTAN, 18 Okt – Program Keluarga Aspirasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan hari ini, diyakini mampu membantu merawat gejala penagihan dadah di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata program berkenaan satu daripada komponen yang terkandung dalam model rawatan digunakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, inisiatif itu sejajar dengan perubahan semasa yang memperlihatkan trend penyalahgunaan dadah daripada jenis organik kepada jenis sintetik.

“AADK juga mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah daripada pendekatan `tough and rugged’ kepada satu pendekatan lebih holistik dan prihatin.

“Ia merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual seseorang klien dan keluarga yang dikenali sebagai Model i-Pulih AADK.

“Kajian menunjukkan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan yang penting dalam proses rawatan dan pemulihan dadah serta menghindarkan klien daripada kembali menagih,” katanya berucap pada majlis pelancaran program berkenaan, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hamzah berkata, komponen sokongan keluarga yang lebih berstruktur diperkenalkan sejak 2020 dan ia terbukti berkesan apabila tahap pengekalan kepulihan klien yang hanya 20 peratus pada 2015 berjaya ditingkatkan kepada 71 peratus pada September lalu.

“Inisiatif Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK) adalah instrumen sokongan yang menyediakan ruang dan peluang kepada ahli keluarga untuk berkongsi permasalahan dan mencari penyelesaiannya.

“Program ini diharap mampu mengurangkan stigma terhadap isu penagihan dadah, sekali gus mengiktiraf peranan keluarga sebagai elemen menyokong dan membantu pemulihan klien sepanjang hayat.

“Program ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang terkesan untuk berkongsi pendapat, pengalaman, keupayaan dan pemikiran bagi membentuk kelompok yang ampuh dalam mengekalkan kepulihan,” katanya.