KOTA KINABALU, 18 Okt – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan membawa usul rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hajiji bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang supaya RUU itu diluluskan.

“Insya-ALLAH kita akan perkenalkan atau bawa ke persidangan DUN nanti. Ini bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang sebab kita perlu mendapatkan dua pertiga untuk meluluskan Perlembagaan ini.

“Kita akan bersidang mungkin hujung November selepas PRU,” katanya selepas hadir pada Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai pembentangan RUU Anti Lompat Parti di Sabah berikutan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda yang keluar daripada BERSATU.

Ditanya lanjut mengenai status Wetrom, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, pihaknya belum mengetahui kedudukan Pembantu Menteri itu setakat ini.

“Saya pun tidak tahu yang satu ini ‘lompatkah’ tidak, kita belum lagi ada pengumuman rasmi daripada beliau,” katanya.

Pada Ahad lalu, media melaporkan Hajiji belum menerima sebarang surat peletakan jawatan Wetrom berikutan tular dakwaan bahawa beliau keluar daripada BERSATU dan berhasrat menyertai Parti Warisan (Warisan).