KUALA LUMPUR, 19 Okt – Masih belum terlambat untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memecat anggota Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) yang memangku jawatan ketika ini.

Kenyataan itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, yang terkilan dengan kenyataan Ismail Sabri baru-baru ini mengenai ‘pecat menteri’, dipercayai merujuk pada tindakan 12 menteri PN yang menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen.

Abd Latiff berpandangan, kenyataan ‘pecat menteri’ itu tidak sepatutnya disebut dalam ucapan politik walaupun disampaikan secara gurauan dan sinikal.

“Memang kita tahu Perdana Menteri mempunyai kuasa ‘hire and fire’ (lantik dan pecat), namun kami pun ada maruah. Tidak perlu pecat, kami pun boleh letak jawatan lebih awal.

“Kami masih lagi anggota Kabinet ‘caretaker’ (sementara). Masih belum terlambat untuk dipecat. Mungkin Perdana Menteri Kesembilan boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet dalam masa ‘kecederaan’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Ismail Sabri dalam ucapannya ketika Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Negeri Perak di Bagan Datuk, mendedahkan beliau ada memberi bayangan mengenai pembubaran Parlimen dalam Kabinet.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Kabinet terakhir pada 7 Oktober lalu, yang mana beliau memaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, akan membubar Kabinet jika ada yang tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen.

“Silap, patutnya saya pecat semua sekali, tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut,” kata Ismail Sabri.

Mengulas lanjut, Abd Latiff mendakwa isu pembubaran Parlimen tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet, sebelum Perdana Menteri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU turut mendakwa Ismail Sabri berteka-teki mengenai perkara itu apabila ditanya mengenai tarikh pembubaran Parlimen oleh anggota Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang terakhir.

“Kita berbincang hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, Monsun Timur Laut (MTL) dan persediaan Bajet 2023. Pembentangan Bajet 2023 diawalkan juga mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal, seingat saya tiga kali dibincangkan.

“Cuma (perkara PRU15), Perdana Menteri Kesembilan (Ismail Sabri) tidak pernah meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen. Perdana Menteri ada menyatakan bahawa kita utamakan persediaan bencana, MTL dan kos barangan berbanding PRU15.

“Jika Perdana Menteri menyatakan hasrat membubarkan Parlimen secara terus terang dan ikhlas, saya percaya anggota Kabinet akan bersetuju dan memberi mandat kepada beliau.

“Malah pada pagi Jumaat 7 Oktober 2022, seorang Menteri Kanan bertanyakan ‘bila nak bubar?’, dan Perdana Menteri masih berteka-teki dengan anggota Kabinet,” dakwanya.