KUALA LUMPUR, 20 Okt – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menasihatkan semua calon dan penyokong parti politik mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Baginda turut menitahkan, semua calon bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Yang di-Pertuan Agong juga mengingatkan calon dan penyokong supaya menjaga nilai murni dan adab dalam kehangatan dan keghairahan berkempen.

Beliau berkata, baginda turut mengajak semua rakyat mendoakan perjalanan PRU15 lancar dan selamat, selain berharap rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

“Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

“Baginda menzahirkan sifat terbabit tidak bertepatan dengan nilai murni, selain ia bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan dan keadaan huru-hara.

“Pada hemat baginda, kerjasama baik semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman, sistem Demokrasi Berparlimen serta Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, di Istana Negara.

Pada sesi itu, baginda berkenan menerima sembah taklimat mengenai persiapan PDRM dan agensi berkaitan bagi tempoh perjalanan PRU15 dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, membabitkan seramai 99,133 pegawai dan anggota.