KOTA KINABALU, 20 Okt – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi jaminan gabungan itu tidak akan bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata GRS dan BN sudah membuat perjanjian iaitu tidak akan bertanding sesama sendiri.

“Di mana calon GRS bertanding, BN kena sokong dan di mana calon BN bertanding, GRS juga kena sokong.

“Itu prinsip kerjasama kita, jadi mesti ada satu jajaran atau konsep politik di Sabah. Kita sudah lama bergaduh, jadi saya harap tidak perlulah berlawan-lawan, jangan pasang calon macam-macam (calon tidak boleh menang).

“Dalam pilihan raya, musuh politik kita adalah parti pembangkang iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pakatan Harapan (PH), DAP dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Kali ke-25 Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji turut menegaskan, pihaknya berpegang teguh kepada persefahaman di antara GRS dan BN yang dimeterai pada 8 Januari tahun lalu.

Katanya, ia berikutan keadaan serta landskap politik di Sabah agak unik dan berbeza berbanding di peringkat Persekutuan.

“Saya sudah nyatakan kepada pimpinan di peringkat Persekutuan sama ada BN atau Perikatan Nasional (PN), jangan ganggu kita di Sabah.

“Kita pegang kepada persefahaman dan janji kerana kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah. Buat apa kita gaduh?

“Kita mahu satu keadaan stabil supaya kita dapat merancang dan melaksanakan program di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ). Mereka pun faham,” katanya.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah ketika ditanya mengenai senarai calon berkata, pihaknya sudah selesai membuat senarai itu.

“Senarai pendek bagi 25 kawasan Parlimen itu akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.

“Kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung jumlah pengundi berdaftar yang direkodkan didakwa mengalami peningkatan secara mendadak di Sabah,” katanya.