PUTRAJAYA, 20 Okt – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR, dekat sini, sebentar tadi.

Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 5 November bagi semua calon dan parti politik bertanding hingga jam 11.59 malam, 18 November.

Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi terbabit.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN Bugaya, Sabah adalah daftar pemilih terkini hingga daftar pemilih tambahan pada Ogos 2022 yang dikemaskini hingga 9 Oktober 2022 membabitkan 21,173,638 pemilih.

“Ia membabitkan 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan termasuk anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Ghani berkata, PRU15 diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Parlimen, serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi DUN Perlis, dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.

Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara sudah dibuka bermula daripada 10 Oktober lalu untuk PRU15 dan daripada 13 Oktober bagi PRK DUN Bugaya, Sabah.

Tarikh tutup permohonan adalah 2 November bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media.

“23 Oktober pula adalah tarikh tutup bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 26 Oktober membabitkan kategori 1C iaitu agensi dan organisasi,” katanya.

Abdul Ghani berkata, seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya Sabah.

Sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi atau saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi atau saluran.

“PRU-15 dan PRK DUN Sabah ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM1.01 bilion,” katanya.

Terdahulu, Abdul Ghani berkata, SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Oktober lalu.

Beliau berkata, SPR juga menerima surat pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-14 bagi tiga negeri iaitu Pahang dan Perlis bertarikh 14 Oktober serta Perak pada 17 Oktober lalu oleh Yang Dipertua DUN masing-masing.

“Seterusnya pemakluman rasmi juga telah diterima daripada Yang Dipertua DUN Sabah setelah Proklamasi Darurat (No.3) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) dibatalkan, mengenai kekosongan bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri Bugaya, pada 12 Oktober lalu,” katanya.