KUALA TERENGGANU, 20 Okt – Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris, memutuskan untuk tidak bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya akan memfokus kepada tugasnya sebagai Senator yang tamat tempoh perkhidmatan pada 2024.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon lain daripada BERSATU untuk bertanding di kerusi Parlimen yang akan diputuskan pucuk pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

“Saya dengan rendah hati ingin memohon ribuan maaf kepada penyokong serta ahli BERSATU seluruh negeri ini kerana memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU-15.

“Pada masa sama, saya meminta semua ahli parti supaya menyokong calon yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti nanti, bagi memastikan PN meraih kemenangan pada PRU-15,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Bahagian Besut, semalam.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, beliau sudah memaklumkan hasratnya itu kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Walaupun tidak bertanding, saya bersama ahli jawatankuasa pada semua peringkat akan turun padang ke semua kawasan Parlimen di negeri ini untuk membantu calon kita, termasuk daripada PAS,” katanya.

Mengenai jumlah kerusi Parlimen di Terengganu yang diagihkan kepada BERSATU, Razali berkata, perbincangan terakhir sedang dilakukan dan akan diumumkan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.

“Setakat ini, saya dimaklumkan kerusi Parlimen Hulu Terengganu akan diserahkan PAS kepada BERSATU.

“Jika betul kerusi Parlimen Hulu Terengganu diserahkan kepada BERSATU, kita bersetuju untuk Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, dicalonkan untuk bertanding,” katanya.