JITRA, 20 Okt – Seramai 240 keluarga daripada golongan yang memerlukan di Parlimen Kubang Pasu, bersyukur apabila menerima RM100 bagi membeli barangan-barang keperluan asas harian di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Penerimaan RM100 itu disalurkan melalui kad pengenalan masing-masing bagi memudahkan urusan pembelian tanpa tunai.

Program Sentuhan Kasih ini dihadiri Pengerusi Inisiatif Bina Bangsa (BINA), Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang juga Ketua Penerangan BERSATU Malaysia.

Wan Saiful berkata program ini amat bermakna dalam usaha menyantuni golongan yang memerlukan agar kebajikan dan keperluan mereka dapat dijaga.

“Jadi, ini sebahagian usaha saya untuk mendekati masyarakat di sini dalam Parlimen Kubang Pasu.

“Ini adalah batch pertama yang menerima sumbangan seperti ini.

“Ini sebahagian daripada program yang saya jalankan sejak lebih setahun di sini dan ini adalah sedikit sumbangan agar keperluan dan kebajikan mereka dijaga,” katanya kepada pemberita hari ini.