SUNGKAI, 20 Okt – Jumlah warga asing yang bekerja di negara ini menunjukkan penurunan kepada 2.4 juta orang, berbanding 2.7 juta dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pengurangan kira-kira 300,000 orang menerusi data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu berlaku berikutan penularan pandemik COVID-19 dan warga asing pulang ke negara masing-masing.

“Sebagai sebuah negara yang memerlukan buruh asing, dasar kita sekitar 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja dan sekarang ini menghampiri angka itu.

“Kita tidak menafikan keperluan tenaga asing, tetapi kita perlu pastikan lebih ramai orang kita berminat dalam kerja-kerja seperti perladangan dan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Statistik Negara 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di pekarangan ILSM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mustapa turut berharap negara ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing pada masa hadapan.

“Caranya adalah menyediakan kemudahan perumahan dan gaji yang lebih baik. Kalau setakat gaji minimum dan tiada kemudahan, sudah pasti ia tidak mampu untuk menarik rakyat bekerja dalam bidang tertentu.

“Jadi, kita berharap pada masa depan negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, tetapi lebih ramai rakyat yang berminat dalam bidang pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, pemain industri juga perlu melihat perancangan jangka panjang meskipun pemulihan ekonomi negara sudah beransur bertambah baik selepas pandemik COVID-19.

“Jangka panjang kita juga perlu meningkatkan usaha untuk automasi dan untuk mekanisasi menggunakan mesin dan peralatan dalam sektor perladangan dan juga pembinaan,” katanya.