KUALA LUMPUR, 21 Okt – Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam nada sinis mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja yang mahu bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu hantaran video berdurasi 27 saat, Ahmad Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja menyatakan sesiapa yang ingin datang ke kawasan Tambun, perlu belajar menyebut perkataan air dalam loghat Perak.

“Bagi mereka yang hendak berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain dan nak datang ke Tambun, saya nak bagitau sikit, …di Tambun kita sebut ‘ayor’ bukan ‘ayaq’ ya. Terima kasih, selamat datang,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pengumuman Anwar yang ingin bertanding di Parlimen Tambun.

Malam tadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun dalam PRU15.