KOTA BHARU, 21 Okt – BERSATU memohon PAS mempertimbangkan dua kerusi tambahan untuk Kelantan sebagai tanda penyatuan ummah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Zulkifli Zakaria berkata tambahan itu menjadikan BERSATU tujuh kerusi, sama jumlah dengan Pas.

Menurut beliau, sehingga kini kerusi yang diperuntukkan kepada BERSATU Kelantan hanya lima iaitu dua untuk penyandang Jeli dan Tanah Merah manakala tiga lagi di Ketereh, Machang dan Gua Musang.

“Kita mempertikaikan asas perundingan yang ditetapkan iaitu sepatutnya kerusi UMNO seluruh negara diserahkan kepada BERSATU manakala kerusi Parti Amanah Negara (Amanah) milik PAS dan kerusi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) boleh diagih antara parti.

“Bagaimanapun, tidak berlaku demikian kerana PAS masih menuntut kerusi Baling dan Besut yang dimenangi UMNO. Adakah asas perundingan antara negeri berbeza?” soal beliau, memetik Sinar Harian hari ini.

Justeru, Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan berkata, PAS perlu berlaku adil sesuai konsep penyatuan ummah yang di laungkan parti itu.

“PAS tidak boleh tamak jika mahu menjadi ‘abang long’ menyatukan parti Melayu untuk perpaduan.

“Mereka juga perlu berkorban bagi membuktikan keikhlasan melaksanakan penyatuan,” katanya.