KUALA TERENGGANU, 22 Okt – BERSATU Terengganu tidak akan menuntut kerusi gantian bagi kerusi Parlimen Besut, apabila PAS turut berminat meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Senator Datuk Razali Idris, berkata jawatankuasa agihan kerusi parti akan menentukan kedudukan kerusi Parlimen Besut.

Bagaimanapun, katanya, BERSATU tidak akan menuntut kerusi Parlimen lain jika jawatankuasa berkenaan memutuskan menyerahkannya kepada PAS.

“Tiada perebutan kerusi Parlimen Besut, walaupun perbincangan awal kerusi itu akan diserahkan kepada BERSATU.

“Pimpinan kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) sudah diberi ruang untuk berhujah, termasuk mengemukakan senarai calon,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan BERSATU dan persiapan menghadapi PRU15, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU negeri, Khazan Che Mat dan Pengerusi Srikandi Muda, Lia Azaria Amir Rosli.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri BERSATU Terengganu, berkata parti mengambil keputusan untuk mengalah dan tidak akan menuntut kerusi Parlimen lain jika pimpinan tertinggi Pusat memutuskan kerusi itu diserahkan kepada PAS.

Mengenai kerusi di Parlimen Hulu Terengganu, Razali berkata, perbincangan di peringkat jawatankuasa tertinggi PN sudah memutuskan kerusi yang ada pemilik tidak akan diganggu.

“Kita sudah mencadangkan penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid bertanding bagi mempertahankan kerusi itu pada PRU15,” katanya.

Mengenai persiapan jentera pilihan raya BERSATU di Parlimen Besut, Razali berkata, sebanyak 40 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ditubuhkan parti itu akan disatukan dengan jentera pilihan raya PAS.

“PDM termasuk 40 jawatankuasa kecil ditubuhkan di Parlimen Besut akan diaktifkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon,” katanya.